Saranan pengambilan pekerja asing dihentikan
LANGKAWI 30 Dis — Pengambilan pekerja asing perlu dihentikan buat sementara waktu sehingga satu dasar lebih terperinci diperkenalkan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar.Beliau berkata, pada masa ini terdapat 2.6 juta pekerja asing di negara ini.
“Bilangan ini sudah mencukupi, pengambilannya perlu dihentikan”, katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan tiga tahun sekali Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW) ke-18 yang dihadiri lebih 100 perwakilan dari seluruh negara di sini hari ini.
Beliau berkata, peluang pekerjaan yang wujud berikutan pembukaan koridor pembangunan ekonomi wilayah yang baru bukan untuk pekerja asing tetapi lebih utama kepada pekerja tempatan.
“Kita tidak mahu majikan atau agensi pekerjaan beranggapan ini adalah peluang untuk mereka mencari keuntungan bagi membawa pekerja asing ke negara ini,” katanya.
Mengenai gaji pekerja ladang, Abdul Rahman berkata, lebih 200,000 pekerja ladang di seluruh negara sudah mendapat gaji secara bulanan yang jauh lebih baik daripada yang diterima mereka sebelum ini.
Beliau berkata, pekerja ladang kini mendapat gaji minimum antara RM325 dan RM350 sebulan, tidak termasuk pemberian elaun.
“Ini adalah hasil rundingan kementerian dengan NUPW dan MAPA (Persatuan Pengeluar-Pengeluar Pertanian Tanah Melayu),” katanya.
Katanya, NUPW turut memberi skim perlindungan kepada pekerja ladang yang kini telah memberi manfaat kepada 334 ahli dengan perbelanjaan RM3.6 juta.- Bernama