Henti `ketagihan' ambil pekerja asing- Abdullah
KUALA LUMPUR 9 Nov — Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta majikan di negara ini menghentikan `ketagihan’ mengambil pekerja asing kerana ia tidak akan menyumbang terhadap pembangunan modal insan sebaliknya memberi kesan negatif kepada negara.
Beliau berkata, pengambilan pekerja asing sama ada mengikut undang-undang mahupun secara haram, tidak akan dapat meningkatkan teknologi negara kerana pekerja yang diambil tidak mempunyai kemahiran tinggi dan mempunyai produktiviti yang rendah.
“Kita perlu pastikan ketagihan ini dapat dihentikan. Ini adalah satu masalah besar yang melanda untuk mencapai sasaran sebagai negara terbilang.
“Ini kerana mereka (majikan) membayar gaji buruh yang rendah dan (membabitkan) kos yang rendah. Tak dapat yang ada dokumen, mereka ambil yang tak ada dokumen. Kalau ini menjadi keinginan mereka (majikan) (setiap kali) bila ada kekosongan, akhirnya kesan tak akan jadi baik,” katanya, dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Abdullah yang juga Presiden Umno berkata, perubahan sudahpun dilakukan kerajaan dengan menyediakan peluang kepada semua kanak-kanak sekolah dengan memastikan mereka beroleh peluang pendidikan bermula dari tahun satu hingga ke tingkatan lima secara percuma.
Katanya, ia bagi menjamin modal insan yang dihasilkan dilengkapkan dengan pekerja yang lebih baik dan berpengetahuan tinggi bagi membolehkan negara meningkatkan produktivitinya.
“Kalau dulu ada pelajar tak dapat meneruskan pelajaran selepas darjah enam kerana miskin dan ada yang hanya sampai SRP (kini Penilaian Menegah Rendah (PMR) sahaja dengan menyambung tiga tahun lagi pelajaran (selepas tahun enam).
“Tapi sekarang tidak ada lagi yang tidak boleh kerana laluan keluar (berhenti sekolah) sudah ditutup.
“Ini membolehkan mereka sekurang-kurangnya mempunyai pelajaran lebih tinggi pada masa (mereka) memohon pekerjaan selepas berhenti sekolah selain memastikan golongan miskin tidak diberhentikan,” katanya.
Beliau juga berharap, dengan adanya perubahan yang disediakan kerajaan pada sektor pekerjaan, industri yang mahu berkembang ataupun kilang baru ke Malaysia akan diminta, disyarat dan dipastikan menggunakan teknologi lebih tinggi supaya menjamin produktiviti dengan produk yang berkualiti.
Katanya, pekerja yang diperlukan akan dipersiapkan dan dilatih dengan lebih awal dengan kerjasama dan muafakat pihak industri.
“Maka dengan cara yang kita lakukan ini insya-Allah akan berubahlah dan akan hilanglah ketagihan untuk mendapat pekerja asing yang bergaji murah tetapi produktiviti kurang dan hasil kerja yang kurang bermutu,” katanya.
Beliau percaya perubahan ini akan dapat dilakukan dengan segera dan ia bukan satu yang sukar dengan perancangan secepat mungkin.
Katanya, isu pekerja asing dan penyediaan pengambilan pekerja tempatan ini memberikan impak kepada anak-anak di luar bandar yang juga mempunyai kebolehan yang sama dengan pelajar di bandar.
“Peluang belajar dan latihan kemahiran yang diberikan kepada mereka yang di luar bandar mesti dipastikan sama kualiti baik dan jangan berlaku tidak adil. Di pekan (bandar) elok di luar bandar tak elok. Kita tak mahu berlaku situasi seperti ini,” katanya.- Bernama
Prosedur ambil pekerja asing diketatkan
KUALA LUMPUR 9 Nov. – Prosedur pengambilan pekerja asing akan diperketatkan dan jumlah anggota penguat kuasa Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan ditambah daripada 1,200 kepada 5,000 orang bagi membendung masalah kebanjiran golongan itu di negara ini.
Perkara itu diputuskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menggariskan tiga prosedur baru untuk memastikan kemasukan pekerja asing dikawal secara berkesan berkuat kuasa tahun depan.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad ketika mengumumkan keputusan berkenaan berkata, prosedur pertama ialah majikan yang ingin mengambil pembantu rumah asing diwajibkan mengambil insurans bagi mengurangkan kos perubatan dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.
‘‘Cara pengambilan pekerja asing yang ketat itu akan dilanjutkan kepada semua pekerja asing di semua sektor pada masa depan,” kata Setiausaha Agung UMNO itu ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Radzi memberitahu, prosedur kedua ialah Unit Perancang Ekonomi (EPU) diberi mandat untuk melakukan kajian serta menggariskan satu panduan mengenai had siling pekerja asing yang dibenarkan untuk semua sektor pekerjaan di negara ini.
Menurutnya, prosedur ketiga ialah kerajaan memutuskan supaya Kementerian Sumber Manusia mengiklankan kekosongan sesuatu jawatan selama dua minggu untuk diisi oleh tenaga kerja tempatan dahulu sebelum dibuka kepada pekerja asing.
Beliau berkata, langkah itu diputuskan oleh Najib ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing pada 9 Oktober lepas yang dihadiri oleh beberapa kementerian berkaitan.
Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri juga bersetuju menambah bilangan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen bagi memperhebatkan lagi operasi menangkap pekerja asing tanpa izin (PATI).
“Selain itu, Kabinet pada dua minggu lepas bersetuju meletakkan depot-depot tahanan yang terletak di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri,” jelasnya.
Berikutan keputusan tersebut, Radzi berkata, depot-depot tersebut akan diperkemaskan dan diperbanyakkan pada masa depan manakala agensi penguatkuasaan kementerian itu akan mempergiatkan lagi operasi membasmi PATI dengan dibantu oleh pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
“Operasi itu akan diperhebatkan untuk memburu dan menangkap pekerja asing yang tidak sah dan laporan operasi tersebut akan disiarkan untuk pengetahuan umum,” jelasnya.
Radzi berkata, operasi itu juga akan dijalankan untuk mengatasi masalah pekerja asing yang masuk secara sah tetapi tidak pulang ke negara asal walaupun telah tamat tempoh permit kerja.
maklumat lanjut :
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=2470.0